KUALA LUMPUR: Trend buang bayi dilihat masih berterusan walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah tersebut termasuk yang melibatkan golongan remaja.
Siri pertama daripada dua rencana isu buang bayi ini antaranya mengupas jenayah kejam yang dilihat masih tidak berkesudahan dengan statistik PDRM menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 10 kes buang bayi berlaku dalam tempoh sebulan dan kelompok umur paling tinggi melakukan jenayah berkenaan.
Berita seorang remaja berusia 15 tahun disyaki bertindak membunuh dengan menikam bayinya sendiri selepas melahirkan bayi berkenaan sudah tentunya bukan sahaja menggemparkan tetapi amat mendukacitakan.
Menurut laporan media pada Selasa lepas (8 Februari 2022), remaja dan bayi lelaki yang dilahirkan cukup sifat itu mempunyai kesan tikaman di bahagian dada kiri itu, ditemui di sebuah rumah di daerah Kemaman, Terengganu.
Ramai juga mungkin masih ingat kes tindakan seorang pelajar kolej yang mencampak bayi yang baharu dilahirkannya dari tingkat 13 rumahnya di apartmen di Bandar Baru Farlim, Air Itam, Georgetown pada 10 Julai 2020.
Bayi itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan susulan kejadian tersebut, remaja itu dan teman lelakinya ditahan reman bagi siasatan lanjut.
Apa yang berlaku ini menunjukkan trend buang bayi masih berleluasa walaupun pelbagai cara dilakukan untuk menangani jenayah itu dan si pelaku terutamanya dalam kalangan remaja, seperti tidak takut dengan perbuatan kejam mereka.
Bernama membuat tinjauan khas isu buang bayi dan dalam siri satu daripada dua bahagian ini, wartawan Bernama, Balkish Awang, mendapatkan penjelasan daripada Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan berhubung isu buang bayi yang masih tidak berkesudahan.
443 KES BAYI DIBUANG
Berdasarkan statistik daripada PDRM, sekurang-kurangnya purata 10 kes buang bayi berlaku dalam tempoh sebulan sejak empat tahun lepas bermula 2018 hingga 2021.
Menurut Siti Kamsiah, pada tahun 2018, kes buang bayi di seluruh negara mencatatkan 128 kes diikuti 125 kes pada 2019, 104 kes pada 2020 dan 86 kes pada 2021.
Jumlah keseluruhan kes buang bayi bagi tempoh empat tahun itu adalah sebanyak 443 kes.
"Jika kita lihat statistik ini, hanya sedikit sahaja penurunannya, tidaklah ketara. Pada saya, ia masih pada purata yang sama.
"Beza tahun 2018 dan 2019 hanya tiga kes sahaja. Pada tahun 2020 dan tahun 2021 pula, biarpun ada penurunan tetapi ia disebabkan faktor seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac 2020 dengan banyak sektor ditutup.
"Perjumpaan fizikal yang tidak ada pada masa itu (PKP) dengan sekatan pergerakan mendorong kepada sedikit penurunan kes buang bayi ini yang menyebabkan tidak ada yang mengandung luar nikah selain tempat kerja yang banyak ditutup turut mempengaruhi perbuatan itu.
"Tetapi pada saya angka perbuatan buang bayi dari 2018 hingga 2021 tetap tinggi dengan kira-kira purata 10 kes dalam sebulan," katanya.
Ditanya sama ada kes jenayah berkenaan akan meningkat pada tahun 2022 berikutan pembukaan semula semua industri serta tiada lagi sekatan pergerakan, Siti Kamsiah berkata dengan kembalinya aktiviti sosial seperti biasa serta industri beroperasi seperti sediakala, tidak mustahil kes buang bayi akan berlaku semula.
Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada 443 kes bayi yang dibuang, 149 orang ditemukan masih hidup manakala 294 bayi lagi sudah meninggal dunia.
"Dalam tempoh itu juga (2018 hingga 2021), sebanyak 141 kes melibatkan janin manakala 302 lagi adalah bayi baharu lahir.
"Manakala jantina bayi yang dibuang seramai 141 adalah bayi lelaki, 114 perempuan dan 188 lagi tidak diketahui," katanya.
PANIK MAHU LUPUS BUKTI
Menurut Siti Kamsiah yang sudah 31 tahun berkhidmat dengan PDRM, dorongan utama kepada perbuatan tanpa belas ihsan itu, kebanyakan suspek sudah merancang mahu melupuskan bayi mereka selepas melahirkan.
"Berdasarkan rekod siasatan PDRM, kes buang bayi ini terjadi kerana faktor pertama kehamilan luar nikah bermakna mangsa atau suspek yang mengandung dan membuang bayi ini, kebanyakan mereka terjebak dengan seks di luar perkahwinan yang menyebabkan mengandung, tidak bersedia serta tanpa pengetahuan keluarga.
"Jadi untuk mengelak daripada keluarga tahu serta panik semasa sudah hampir bersalin, itu yang dia mahu lupuskan buktinya.
"Mereka mahu lupus bukti kerana takut diketahui orang ramai terutama ahli keluarga sehingga tergamak membuang bayi itu.
"Mengambil tindakan secara tanpa berfikir panjang pada masa itu ditambah dengan situasi panik, beranak dan sebagainya, " katanya.
Beliau menambah, jika dilihat pada lokasi pembuangan bayi, kebiasaannya si pelaku akan mencari tempat yang betul-betul orang tidak nampak seperti tempat pembuangan sampah, kumbahan, tepi longkang serta tempat yang tiada rakaman visual kamera litar tertutup (CCTV) agar bukti dapat dilupuskan terus.
Selain daripada kawasan berkenaan, lokasi yang sering ditemukan bayi adalah di kawasan kediaman, pinggir kediaman, masjid supaya bayi itu boleh diselamatkan.
Menurut statistik PDRM, dari tahun 2018 hingga tahun 2021, tempat pembuangan bayi paling tinggi direkodkan adalah di kawasan rumah iaitu sebanyak 178 kes diikuti tempat pembuangan sampah 31 kes, loji, longkang dan kumbahan (31), dalam tandas (30), masjid dan surau (29), tepi kedai, bangunan dan pejabat (26) serta tepi jalan (21).
Menyentuh kategori umur suspek yang melakukan perbuatan jenayah kejam ini, Siti Kamsiah berkata, untuk tempoh 2018 hingga 2021, kes paling tinggi iaitu 149 kes melibatkan umur 18 hingga 25 tahun, manakala 73 kes lagi melibatkan kalangan umur 25 tahun ke atas dan 40 kes dalam kalangan bawah 18 tahun.
"Kita boleh tengok golongan 18 tahun ke atas ini adalah kalangan mereka yang baharu memulakan kehidupan bekerja, tinggal sendiri dan kebanyakan mereka ini jauh daripada ibu bapa serta bebas daripada kongkongan keluarga.
"Mereka ini yang dilihat lebih terdedah kepada perbuatan ini ditambah pula dengan lemahnya pegangan nilai diri, didikan agama yang mendorong kepada perbuatan tersebut," katanya.
Berbanding kelompok bawah 18 tahun, Siti Kamsiah berkata ia adalah sedikit berkurangan berikutan bayi dapat diselamatkan daripada terus dibuang daripada peringkat awal.
"Umur 14 hingga 16 tahun ini kita lihat tahap kematangan mereka amat terbatas.
"Mereka sendiri tidak memahami tentang perubahan tubuh badan mereka atau tidak menyedari yang mereka mengandung sehinggalah saat hendak bersalin dan dikesan oleh ibu bapa atau doktor semasa rawatan.
"Jadi di sini risiko untuk kes pembuangan bayi berlaku adalah kurang kerana sempat diketahui ibu bapa.
"Kelompok umur 14 hingga 16 tahun ini dia sedar mengandung bila perut sudah sakit atau ada masalah sepanjang mengandung.
"Bila pergi ke klinik atau hospital, baru tahu mengandung. Jadi keluarga sudah tahu sebelum peringkat buang bayi tersebut maka ia dapat diselamatkan," katanya.
Beliau berkata, ia berbeza dengan kumpulan umur 18 hingga 25 tahun ini yang sudah matang serta tidak tinggal bersama keluarga.
"Kelompok umur sebegini, dia sudah merancang apa akan dilakukan sebaik bayi dilahirkan. Mereka ini apabila mengandung, dia sorokkan sampai satu peringkat dia sudah ada langkah lain iaitu nekad membuangnya," katanya dan menambah punca kepada masalah pembuangan bayi adalah kurangnya pegangan nilai individu serta tahap kepatuhan seseorang itu terhadap perkara betul dan salah.
Beliau berkata, majoriti yang membuang bayi itu adalah si ibu kandung bayi itu sendiri dan keduanya adalah teman lelaki suspek berkenaan.
Biarpun jenayah buang bayi ini adalah yang terendah dalam kalangan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), namun jenayah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia satu perbuatan yang mengancam nyawa insan kecil yang tidak berdosa.
"Dalam jenayah D11, kes paling tinggi dicatatkan adalah kes rogol diikuti liwat serta amang seksual. Buang bayi ini jika ikut statistik tidaklah banyak tetapi ia melibatkan nyawa dan moral. Buang bayi adalah satu jenayah yang kejam kerana bayi adalah satu golongan yang patut dilindungi.
"Jenayah buang bayi juga turut membawa kepada perkara atau aspek lain iaitu berlakunya aktiviti tidak bermoral lain seperti melakukan gejala sosial antaranya hubungan seks luar nikah. Ini yang kita takuti, nampak sedikit tetapi impaknya besar sebab ia libatkan nyawa," katanya.
Dalam pada itu Siti Kamsiah berkata PDRM tidak akan berkompromi dengan kes-kes melibatkan jenayah pembuangan bayi.
"Apabila ada laporan dibuat dan terdapat penemuan bayi, PDRM akan menjalankan siasatan. Ini adalah komitmen kita supaya mereka yang didapati melakukan kesalahan dapat dihadapkan ke muka pengadilan agar ia jadi pengajaran selain daripada mencegah orang lain untuk mencontohi perbuatan sama," katanya.
Bagi membanteras kes sedemikian, beliau berkata PDRM turut menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat berkaitan isu pembuangan bayi yang merupakan satu kesalahan selain mengingatkan masyarakat untuk tidak terjebak dengan kegiatan yang boleh mendorong kepada hamil luar nikah seterusnya mengundang kepada perbuatan membuang bayi.
"Kempen kesedaran jenayah dilaksanakan terhadap kumpulan sasar seperti kanak-kanak, wanita dan masyarakat. Kempen itu berterusan sepanjang tahun dengan kerjasama pelbagai agensi dan dianjurkan sejak penubuhan Bahagian D11 (Siasatan Seksual/Kanak-Kanak) pada tahun 2007, " katanya.