MELAKA: Empat remaja didakwa di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol secara berkumpulan terhadap seorang pelajar Tingkatan Lima pada awal pagi Ahad lalu.
Kesemua tertuduh berusia 19, 18, 17 serta 16 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan, dan meminta dibicarakan pada prosiding di hadapan Hakim Nariman Badruddin.Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama merogol mangsa berusia 17 tahun lima bulan di kawasan sebuah lapangan terbang di Jasin, kira-kira jam 4 pagi 17 Julai lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi, manakala semua tertuduh remaja itu diwakili peguam, Chua Yong Yi.
Siti Bahiyah tidak menawarkan jaminan untuk semua tertuduh berkenaan, namun Yong Yi merayu sebaliknya.
Yong Yi memohon ikat jamin rendah berikutan tertuduh berusia 19 tahun merupakan pelajar di sebuah kolej vokasional di Segamat, Johor; yang berumur 18 dan 17 tahun (tidak bekerja); manakala penama berusia 16 tahun adalah pelajar Tingkatan Empat.
Sementara itu, tertuduh berusia 19 tahun turut didakwa atas pertuduhan berasingan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama di tempat, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Mahkamah kemudian membenarkan penama berusia 16 tahun diikat jamin RM5,000, manakala tertuduh berusia 18 dan 17 tahun pula RM7,000, dengan seorang penjamin masing-masing.
Tertuduh berumur 19 tahun dikenakan ikat jamin RM14,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin. Semua tertuduh turut dikenakan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dengan apa juga cara.
Kes ditetapkan untuk sebutan pada 16 Ogos depan bagi serahan dokumen.