Pontian: Bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) sebanyak RM300 sebulan akan diberikan kepada pekebun kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), bulan depan.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, bantuan itu akan diberi selama dua bulan kepada kira-kira 300,000 pekebun kecil yang memiliki keluasan kebun getah kurang daripada 2.5 hektar."Kita akan beri BMT pada November dan Disember dengan nilai keseluruhan sebanyak RM192 juta.
"Ini adalah program kerajaan yang mana selama ini pada musim tengkujuh kerajaan akan beri bantuan pada hujung tahun," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 10,000 Kit Ujian Pantas Antigen Covid-19 kepada masyarakat Tanjung Piai di sini, hari ini.
Wee yang juga Ahli Parlimen Tanjung Piai berkata, inisiatif itu bertujuan meringankan beban pekebun kecil getah berikutan bulan itu adalah tempoh mereka paling terkesan akibat musim tengkujuh.
Mengulas mengenai cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram ketika ini kepada RM3.50 sekilogram, Wee berkata perkara itu masih dalam kajian.
"Kementerian sudah ambil maklum terhadap cadangan ini supaya pekebun kecil getah dapat meningkatkan perniagaan mereka. Namun, perkara ini perlu dilihat dengan serius selain mengkaji kemampuan kewangan kerajaan," katanya.
Pada 19 Oktober lalu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata cadangan meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.50 sekilogram ketika ini kepada RM3.50 sekilogram akan dapat mengelak pekebun kecil getah beralih kepada tanaman komoditi lain.
Mahdzir dipetik sebagai berkata sekiranya tiada tindakan menaikkan harga lantai itu dilakukan, pekebun kecil getah akan beralih kepada tanaman komoditi lain yang mempunyai harga lebih tinggi terutama kelapa sawit, yang seterusnya menjadikan negara kehilangan pengeluar getah.
Pada 15 Oktober lalu, Risda mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan menaikkan harga lantai getah sekerap kepada RM3.50 sekilogram mulai Januari tahun depan untuk membantu lebih ramai penoreh getah keluar daripada garis kemiskinan.
Pengerusi Risda, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif dilaporkan berkata harga lantai getah sekerap RM2.50 sekilogram ketika ini jauh lebih rendah berbanding kelapa sawit yang mencecah RM1,100 setiap tan sekali gus mewujudkan jurang yang besar antara pengusaha kebun getah dan kelapa sawit.