Kesan gigitan di muka bayi, pengasuh ditahan polis.

Kesan gigitan di muka bayi, pengasuh ditahan polis

 "Berdasarkan laporan, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga." 

Ampang: Polis menahan pengasuh wanita bagi membantu siasatan berhubung kecederaan dialami bayi perempuan berusia lapan bulan di Taman Putra, di sini. Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 43 tahun ditahan pada Sabtu lalu selepas polis menerima laporan yang dibuat ibu mangsa sehari sebelum itu. 



"Berdasarkan laporan, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami kecederaan dengan kesan gigitan pada muka dan kesan pulasan pada kedua-dua telinga. 
"Ibu mangsa kemudian membawa anaknya ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini. Mohamad Farouk berkata, hasil siasatan mendapati suspek mempunyai enam anak asuhan berusia tiga bulan hingga dua tahun selain mempunyai anak kandung yang tinggal bersama iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan berusia 16 dan lapan tahun. Menurutnya, 

siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa dipercayai berpunca daripada anak asuhan yang lain menggigit muka bayi berkenaan ketika suspek keluar dari rumah. "Suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya..
LihatTutupKomentar