Mike Foong Pelajar Mualaf, Buta Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran

Mike Foong Pelajar Mualaf, Buta Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran


CYBERJAYA – Seorang pelajar mualaf yang juga berstatus orang kurang upaya (OKU) penghilatan berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran selepas dua tahun mengikuti pengajian di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tan Mike Foong, 25, yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik mendaftar masuk ke institusi pengajian agama itu pada 2019 dan kini berada di semester akhir Program Diploma Tahfiz al-Quran & Al-Qiraat Darul Quran Jakim.

Menerusi perkongsian dalam laman Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, Mike Foong bukan setakat menghafaz, tetapi juga telah ‘menulis’ 30 juzuk al-Quran dengan tulisan braille sebagaimana yang telah ditetapkan dalam proforma Program Diploma Darul Quran.

“Apa yang membuatkan saya sebak dan amat kagum adalah, beliau telah berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Subhanallah.

“Walaupun seorang OKU penglihatan, tetapi hatinya jernih dan bersih. Benar al-Quran itu cahaya yang menerangi kehidupan kita.

“Saya dimaklumkan, yang menjadi pendorong kejayaan beliau adalah ibu dan bapanya. Paling manis sekali mereka tidak menghalang hasrat adik Mike untuk memeluk Islam dan menghafal al-Quran walaupun mereka beragama Buddha,” katanya hari ini.

Menurut Idris, lebih mengagumkan apabila ibunya sentiasa berulang alik menghantar anak istimewanya ke Darul Quran dan pada setiap hari Jumaat akan sentiasa menunggu anaknya sehingga selesai solat.

Dalam pada itu, Idris berkata, Mike Foong akan diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan al-Quran yang dijadualkan pada 5 Mac ini bersama pelajar lain.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pendidik di Darul Quran yang istiqamah mendidik dan melahirkan penghafaz al-Quran yang bakal menjadi ulama satu hari nanti.-MT

LihatTutupKomentar