Berjumpa abang kandung selepas 58 tahun terpisah

Berjumpa abang kandung selepas 58 tahun terpisah


MARANG: Tiada kata dapat diungkapkan seorang peniaga, Hamsiah Mohamad, 58, sebaik sahaja melihat sosok tubuh lelaki yang seiras wajahnya berada di depan mata, semalam.

Apa tidaknya, lelaki berketurunan Cina itu, Ling Kok Ong, yang kini berusia 66 tahun merupakan abang kandungnya yang telah terpisah sejak Hamsiah dilahirkan lebih 50 tahun lalu.

Hadir bersama isteri, Josephine Ng, 62, Kok Ong berkata, usaha mencari adik kandungnya itu bermula dengan kunjungan ke tempat mereka membesar di Bukit Besi, Dungun, 17 Ogos lalu.

Kok Ong yang kini menetap di Singapura menjelaskan, hasil maklumat penduduk di situ dia dimaklumkan Hasmiah kini mengusahakan kedai makan di Bukit Payung dekat sini.

“Penduduk di situ memberitahu keluarga angkat Hamsiah yang berketurunan Melayu sudah berpindah sebelum dibantu oleh Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun yang mengatur pertemuan ini.

“Kami terus datang ke sini dan tidak sangka dapat berjumpa semula dengannya. Saya membuat panggilan video bersama ibu serta adik beradik lain di Singapura dan mereka sangat terharu.

“Mereka mengatakan wajah kami seiras dan berhasrat membawa Hamsiah menziarahi ibu kandung kami di Singapura walaupun bapa sudah lama mening­gal dunia,” katanya.

Hamsiah turut tidak dapat menggambarkan perasaannya apa­bila bertemu dengan Kok Ong buat pertama kali setelah terpisah selama 58 tahun.


Katanya, dia tidak menyangka dapat mengenali atau berjumpa keluarga kandungnya kerana sudah terpisah sejak sekian lama dan dijaga keluarga angkat sejak bayi.


“Saya tahu status sebagai anak angkat pada usia 15 tahun namun kasih sayang dicurahkan keluarga angkat tidak pernah berkurang sejak kecil sehingga menginjak dewasa,” ujar ibu kepada dua anak itu.


Ibu bapa kandung Hamsiah difahamkan bekerja di Bukit Besi, Dungun sebelum diserahkan kepada suami isteri Melayu yang juga jiran kepada mereka ketika itu untuk dijadikan anak angkat. -

LihatTutupKomentar