Malah, pada masa sama, Mohd Hashmi, 36, juga ikhlas dalam perhubungan kerana sanggup menerima Siti Marha, 35, yang berstatus ibu tunggal kepada dua cahaya mata berusia lima dan 11 tahun.
Berkongsi kisah di sebalik perhubungan mereka, Siti Marha yang juga jururawat berkata, dia berkenalan dengan suaminya sejak sembilan tahun lalu ketika Mohd Hashmi dimasukkan ke pusat perubatan tempatnya bertugas untuk mendapatkan rawatan akibat terbabit dalam kemalangan.
Menurutnya, hubungan mereka berdua ketika itu tidak lebih daripada seorang jururawat dan pesakit memandangkan dia sudah berkahwin.
Bagaimanapun, katanya, takdir menemukan semula mereka apabila Mohd Hashmi dimasukkan ke tempat kerja Siti Marha pada tahun lalu dan dia ditugaskan untuk memantau keadaan lelaki berkenaan.
"Suami sebenarnya adalah pesakit lama saya kerana mengenalinya ketika dia dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan pada 2013.
"Selepas dia (Mohd Hashmi) keluar wad, kami tidak berhubung langsung dan tak sangka akan bertemu semula di pusat perubatan sama selepas lapan tahun, malah kami masih kenal satu sama lain.
"Pada awalnya, saya tiada perasaan terhadapnya kerana niat awal ketika bertemu adalah untuk merawat, rawatan fisioterapi serta membuat dressing (cuci luka) namun lama-kelamaan timbul pula rasa sayang terhadapnya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurut Siti Marha, cintanya tidak bertepuk sebelah tangan kerana Mohd Hashmi turut menaruh hati terhadapnya sebelum mereka cuba mengenali hati satu sama lain.
Katanya, keserasian yang ada membuatkan mereka sepakat untuk berkahwin dan hasrat itu dipermudahkan berkat restu keluarga kedua-dua belah pihak.
Ada ahli keluarga saya yang meninggal dunia pada usia muda akibat menghidap barah, jadi mereka faham. Anak saya juga tiada halangan dan boleh menerima suami.
"Ikutkan, suami sendiri yang meluahkan hasrat kepada keluarganya untuk berkahwin dengan saya dan mereka memberi restu. Semua perbelanjaan perkahwinan juga ditanggung pihak suami dengan persediaan mengambil masa selama sebulan saja.
"Memandangkan suami terlantar sejak September tahun lalu dan kerap keluar masuk pusat perubatan, maka kami buat persediaan ala kadar saja, malah tidak bertunang sebaliknya hanya mendahulukan yang wajib," katanya.
Katanya, dia enggan terlalu memikirkan keadaan suaminya yang dijangka sukar untuk sembuh kerana apa yang lebih penting adalah menyempurnakan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaik-baiknya.
"Semangat suami kuat walaupun ada ketikanya dia down dan baginya, saya hadir dalam ketika dia berada di titik terendah dalam hidupnya.
"Jadi, selagi diberikan kudrat dan kekuatan, saya akan berusaha menjaga suami dengan sebaiknya dan memberinya keselesaan walaupun buat masa ini, kami tinggal berasingan iaitu saya, di sini, manakala dia di Kapar, Klang," katanya.
Berhubung majlis perkahwinannya yang tular, Siti Marha tidak menyangka hari bahagianya dan suami akan dapat perhatian meluas di laman sosial.
"Ikutkan, kami nak buat majlis sederhana saja dan akad nikah di pejabat kadi, tetapi jadi meriah pula dengan akad nikah serta persandingan diadakan hari yang sama kelmarin (Sabtu) di sebuah dewan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
"Syukur kerana semuanya berjalan lancar walaupun saya perlu menemani suami menaiki ambulans untuk ke dewan majlis.
"Terkejut juga apabila kisah perkahwinan kami tular namun terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata semangat," katanya.