Belum sebulan kahwin, lelaki tular bersanding atas katil meninggal dunia
Belum genap sebulan mendirikan rumah tangga, seorang isteri Siti Marha Azuar terpaksa menerima hakikat pemergian suami Mohd Hashmi Arifin yang meninggal dunia akibat barah otot tahap empat.
Berita sedih tersebut dikongsi wanita berusia 35 tahun itu menerusi satu perkongsian video di aplikasi TikTok sehingga meraih rasa simpati orang ramai.
Video berdurasi 24 saat tersebut memaparkan foto hitam putih Mohd Hashmi dan rakaman sekumpulan lelaki mengangkat keranda untuk dimasukkan ke dalam van jenazah
Sebelum ini, kisah pasangan itu dilaporkan media sehingga membuatkan warganet kagum dengan ketulusan Siti Marha yang juga ibu tunggal dua anak kerana menerima lamaran pesakitnya
Acara persandingan mereka yang diadakan pada 13 November lalu memperlihatkan Allahyarham Mohd Hashmi terpaksa diusung menaiki katil untuk ke lokasi acara di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan takziah kepada wanita berkenaan atas kehilangan suaminya serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.