Seorang wanita dipercayai diculik dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat kira-kira jam 4 petang semalam.
Menurut laporan BH Online, mangsa Rosnazirah Mohd Naim yang juga ejen jualan kosmetik disyaki dilarikan tiga lelaki tidak dikenali dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios.Waris berkata, salah seorang lelaki mengetuk pintu rumah dan memberi salam sebelum dibuka oleh mangsa yang berusia 36 tahun itu.
Lelaki itu bertanya adakah mangsa bernama Azi. Mangsa mengiyakannya lalu dia terus diheret keluar dan dimasukkan ke dalam kereta,” katanya.
Dakwa waris lagi, semua lelaki itu turut mengugut bapa dan anak perempuan mangsa sekiranya berani membuat sebarang tindakan.
Bapa cuba menyelamatkan Azi, namun seorang daripada lelaki itu didakwa turut mengacu sebilah pisau ‘Rambo’…
“…menyebabkan bapa mangsa berundur dan hanya mampu melihat anaknya dilarikan,” ujarnya.
Berdasarkan maklumat diterima, pihaknya memaklumkan bahawa Rosnazirah dibawa ke arah Pengkalan Kubor sehingga suami mangsa turut bergegas ke lokasi namun gagal
Ada penduduk setempat mendakwa nampak seorang wanita dibawa sekumpulan lelaki menaiki bot menuju negara jiran, Toyota Vios dinaiki mereka turut ditemukan di sebuah pangkalan haram di situ.
“Suami mangsa menjejaki isterinya ke negara jiran dan belum pulang sehingga hari ini. Apa yang kami tahu…
“…Azi tiada musuh dan kami juga tidak menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan setakat ini,” kata waris memaklumkan mereka turut melakukan solat sunat hajat.
Malah, dia juga tidak pasti jika terdapat pihak tidak berpuas hati dengan Rosnazirah berhubung perniagaan selain ibu bapa mangsa masih bersedih dengan kejadian tersebut
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, pihaknya menerima laporan dan sedang menyiasat selain menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi .
Menerusi pemerhatian di media sosial, rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu tular sejak pagi tadi sehingga meraih pelbagai reaksi warganet.