TELUK INTAN: Anggota bomba berjaya memujuk seorang warga emas daripada terjun ke dalam Sungai Perak di Jambatan Batu 5, dekat sini, awal pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.20 pagi.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan segera dikejarkan ke lokasi, sebaik menerima panggilan.
“Setibanya di lokasi, seorang lelaki berumur dalam lingkungan 70-an dipercayai cuba terjun dari Jambatan Batu 5,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, anggota bomba yang tiba akhirnya berjaya memujuk lelaki itu supaya tidak meneruskan niatnya.
Warga emas itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Wan Zakry Wan Mat tamat jam 12.50 pagi.