Lelaki bergelut ketika ditahan kerana miliki pistol, keris

KOTA BHARU: Tindakan seorang lelaki menyimpan sepucuk pistol dan pelbagai senjata tajam mengundang padah apabila diberkas polis dalam satu serbuan di Kampung Air Belata, Ulut Sat, Machang di sini pada Isnin lalu.

Lelaki berusia 28 tahun itu dicekup pada pukul 11.50 malam selepas polis bertindak atas maklumat berkait dengan perkara tersebut.

Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, satu pergelutan telah berlaku semasa proses menahan suspek dilakukan oleh anggota bertugas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di dalam rumah tersebut polis telah menjumpai sepucuk pistol jenis Glock 19 Austria berwarna hitam dan sebiji peluru di dalam ‘chamber.’

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan membawa kepada penemuan empat butir peluru hidup dalam kelopak. Selain itu kita turut menjumpai dua bilah keris kecil, sembilan bilah pedang dan sebilah parang berhulu kayu.

“Turut ditemukan dalam serbuan tersebut, 165 biji pil berwarna kemerahan, satu berisi serbuk putih dan empat papan aluminium foil berwarna silver yang mengandungi 20 biji pil disyaki dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, hasil siasatan mendapati, pistol jenis Glock 19 Austria itu dibeli dari negara jiran dengan harga RM5,000.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Selain itu suspek turut memiliki 10 rekod jenayah lampau termasuk berkait dadah dan suspek direman bermula 16 hingga 29 Ogos untuk siasatan lanjut.

“Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api ( Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya

LihatTutupKomentar