Pendakwah terkenal Kelantan direman 6 hari cabul budak lelaki


KOTA BHARU – Seorang pendakwah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Budak direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes cabul dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki pada Selasa lalu

Perintah reman sehingga Rabu depan dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah, Nor Faezah Abdullah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 1 pagi tadi di rumahnya di Machang.

Katanya, suspek yang merupakan mudir madrasah atau pondok dan penceramah bebas ditahan selepas seorang remaja lelaki berusia 13 tahun membuat laporan polis di Tanah Merah kira-kira pukul 10.44 malam tadi.

“Berdasarkan laporan, suspek dipercayai mencabul dan melakukan amang seksual terhadapnya di sebuah rumah di Tanah Merah kira-kira pukul 8 pagi Selasa lalu.

“Mangsa dipercayai telah diminta mengurut badan suspek di ruang tamu rumah sebelum mengajak remaja berkenaan masuk ke dalam bilik kerana bimbang orang lain melihat perbuatan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shafien, mangsa yang terkejut dengan perbuatan itu telah meminta diri untuk ke bilik air sebelum suspek turut keluar dari bilik berkenaan.

Ujarnya, suspek kini ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sebelum ini, Ustaz Budak pernah didakwa atas 12 pertuduhan mencabul pelajar, bekas pelajar di pondoknya dan seorang ahli perniagaan yang kesemua mangsanya adalah lelaki.

LihatTutupKomentar