PM umum dua lagi projek mega buat Sarawak, pemangkin ekonomi di kawasan utaraAstro Awani

Dua lagi projek mega diumumkan di Sarawak petang tadi, dengan fokus pada kali in adalah untuk kawasan di utara negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menamakan dua projek baharu tersebut, adalah Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Projek Lebuh Raya Trans Borneo (LTB)
"Projek ini bakal menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas seterusnya ke Sabah melalui dua opsyen jaringan jalan raya.
"Pengguna jalan raya dari Miri ke Limbang dan Lawas boleh melalui negara Brunei Darussalam, menggunakan laluan projek LTB sepanjang 96km yang bakal ditambah baik kepada dua buah lorong dua hala.
"Bagi mereka yang tidak mahu melalui negara Brunei boleh menggunakan Jajaran Fasa 2 Projek SSLR sepanjang 326km yang merupakan kesinambungan Fasa 1 Projek SSLR dari Simpang Gelugus ke Long Lopeng sepanjang 77km," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika merasmikan Projek Pan Borneo Sarawak, melibatkan Seksyen Pujut bagi Pakej Kerja Sungai Tangap – Jalan Pujut Link WPC 11 di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis tersebut, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Projek ini katanya lagi, melibatkan kos berjumlah RM10.62 bilion dan akan membolehkan penduduk di Miri, Limbang dan Lawas menikmati jaringan jalan raya yang lebih baik, selamat dan selesa.
Mengenai Projek Pan Borneo yang dirasmi pada Ahad, ismail berkata, ia penting untuk mewujudkan kitaran ekonomi tempatan, dengan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
"Pelaksanaan projek-projek seperti ini membuka lebih banyak peluang kepada Keluarga Malaysia di Sarawak untuk sama-sama terlibat sama ada sebagai perunding, pembekal mahupun kontraktor," tambahnya.
Projek ini juga katanya bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sarawak Corridor Of Renewable Energy (SCORE) bagi membolehkan negeri itu mencapai taraf negeri maju seperti yang dirancang.
Katanya lagi, pelaksanaan projek ini diyakini akan mengulangi kejayaan projek-projek lebuh raya di Semenanjung dan menjayakan transformasi pembangunan luar bandar.
Ia juga bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya.
LihatTutupKomentar