Remaja mengaku tidak bersalah samun, rogol wanita di hotel bajet

AYER KEROH: Tindakan kejam seorang remaja yang didakwa melakukan samun sebelum merogol seorang wanita di sebuah hotel bajet, minggu lalu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Tertuduh, K.P Suren, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nariman Badruddin
Mengikut pertuduhan pertama di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan luar tabii terhadap mangsa yang berusia 34 tahun tanpa kerelaannya.
Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Tertuduh turut didakwa melakukan rompakan wang tunai bernilai RM100 dan sebuah telefon bimbit milik mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan.
Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.
Selain itu, tertuduh turut bertindak kejam merogol mangsa sama tanpa kerelaannya sehingga mendatangkan kecederaan terhadap wanita itu dan didakwa di bawah Seksyen 376(2)(a) dan berdepan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah hotel bajet di Taman Paya Rumput, Melaka Tengah antara pukul 1.11 hingga 1.20 pagi, 3 Ogos lalu.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari memohon jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Nariman pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 September ini sebagai sebutan semula kes.
LihatTutupKomentar