Lelaki berpeluh dibawah katil janda.
Alor Setar: Seorang lelaki ditemui menyorok di bawah katil rumah seorang janda ketika pegawai masjid bersama anggota polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah kampung di Kota Sarang Semut di sini, hari ini. Lelaki berusia 32 tahun itu berbuat demikian kerana bimbang dicekup khalwat kerana menumpang di rumah janda berusia 33 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIK Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pada serbuan jam 7.30 pagi tadi, lelaki yang bekerja di kedai besi itu memberi alasan menumpang di rumah wanita berkenaan. Beliau berkata, pemeriksaan mendapati, rumah itu turut dihuni bapa wanita itu dan tiga anaknya.
"Bapa wanita itu dipercayai sakit dan ketika inilah lelaki itu mengambil kesempatan menumpang di rumah wanita berkenaan. "Ketika pemeriksaan, lelaki itu menyorok di bawah katil dalam bilik kedua rumah berkenaan untuk mengelak daripada ditahan," katanya pada kenyataan.
Radzi berkata, pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen membuktikan mereka pasangan suami isteri atau mahram. Beliau berkata, mereka kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk laporan tangkapan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat. "Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya..