KOTA KINABALU: Harga siling minyak sawit botol lima kilogram untuk Sabah, Sarawak dan Labuan ditetapkan pada paras RM34.70 sama seperti di Semenanjung, berkuat kuasa pada 8 Ogos ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata mekanisme penetapan harga siling itu dibuat bersandarkan simulasi harga jualan minyak masak tulen di peringkat peruncit, dengan mengambil kira perkembangan semasa minyak sawit mentah (CPO) di pasaran global.
Nanta berkata penetapan harga siling secara bulanan bagi minyak masak botol tidak bersubsidi mengikut harga purata CPO bagi satu tan metrik di pasaran dunia pada bulan sebelumnya diputuskan pada mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, semalam.
"Harga purata bulanan CPO ditentukan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi pada 1 hari bulan setiap bulan diikuti pengumuman harga siling minyak masak tulen kemasan botol bagi bulan tersebut berkuat kuasa pada setiap 8 hingga 7 hari bulan pada bulan berikutnya," katanya.
Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi Tan Sri Annuar Musa berkata minyak masak sawit botol itu akan dijual pada harga RM34.70 bulan ini bermula 8 Ogos dan harga berkenaan hanya berkuat kuasa untuk Semenanjung Malaysia.
Sementara itu, Nanta berkata perintah larangan mengeksport minyak masak tulen tidak bersubsidi dalam semua bentuk polibeg diwartakan semalam untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna dan pengeksport di samping meningkatkan keberkesanan pemantauan bagi mengurangkan ketirisan.