KUALA LUMPUR: Aksi Liga Perdana antara Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Sultan Muhammad IV bertukar 'panas' selepas penyokong The Red Warriors dilihat 'mengamuk' susulan kekalahan 1-2 yang dialami pasukan itu.
Menerusi beberapa klip video yang tular di laman media sosial, penyokong Perak FC diarahkan masuk ke dalam padang dan tidak dibenarkan untuk keluar dari stadium selepas wisel penamat dibunyikan.
Malah, bukan setakat penyokong tetapi pemain juga dikatakan terpaksa 'berlindung' di tengah stadium bagi mengelak daripada mencetuskan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.
Bukan itu sahaja, bas dipercayai dinaiki pemain Perak FC turut dibaling dengan objek seperti botol air dan batu oleh kelompok penyokong dipercayai penyokong Kelantan FC.
Gambar cermin bas yang pecah selepas dibaling dengan objek turut menjadi tular di laman media sosial.
Pada aksi terbabit, pendahulu Liga Perdana itu tewas 2-1 di tangan Perak yang menghuni tangga ke-11 meskipun mendahului seawal minit pertama menerusi Jasmir Mehat.
Namun, dua gol menerusi Wan Zack Haikal Wan Noor (m15) dan gol sendiri (m20) memastikan Perak FC meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan FC di laman sendiri pada musim ini.